Web Dinamik Dengan Xoops
Web yang statik sudah ketinggalan zaman. Kini, kebanyakan laman web adalah dinamik. Apakah perbezaan antara laman statik dan dinamik? Laman dinamik selalunya berubah mengikut keadaan atau cara laman itu dicapai. Ketika melayari laman web, setiap pautan akan membawa ke halaman lain. Laman statik selalunya mempunyai fail untuk setiap halaman di dalam laman web berkenaan. Jika ada 1000 halaman, maka kita juga harus menyediakan 1000 fail yang berkaitan. Itu tidak termasuk objek lain seperti gambar, fail audio, video dan lain-lain. Pengurusan dan pengendalian akan menjadi sukar kerana semakin banyak halaman perlu ditambah. Dengan laman dinamik, kita mungkin hanya perlu menyediakan beberapa skrip atau program untuk mengambil maklumat yang mungkin disimpan di dalam pangkalan data (database), tidak kira sama ada pangkalan data itu relational, object-oriented, atau pangkalan data lain.
Artikel kali ini adalah untuk mereka yg baru nak mengenali Xoops. Bagaimana Xoops dapat membantu menghasil, mengendali dan menguruskan laman dinamik.
Apa itu Xoops? Xoops, ringkasan kepada eXtensible Object Oriented Portal System (XOOPS), ialah pelayan aplikasi web berorientasikan objek (OO) yang menggunakan bahasa pengaturcara PHP. Ia juga boleh disenaraikan sebagai rangka kerja kerana ia menggalakkan penggunaan semula kod (code reuse) dengan menggunakan modul yang disertakan.
Xoops digunakan sebagai Content Management System (CMS) asas kerana ia boleh dikendali dan diurus melalui browser (spt Internet Explorer) dan membenarkan pengurusan dikendalikan oleh ramai pengguna. Xoops dihasilkan menggunakan bahasa pengaturcaraan PHP, iaitu bahasa pengaturcaraan yang interpreted, berorientasikan objek dan interaktif. PHP boleh dilaksana di hampir semua sistem operasi seperti Windows & Unix. Xoops dilesenkan dengan GNU General Public License. Ringkasnya penggunaan dan sumber Xoops adalah percuma.
Antara contoh web yg menggunakan aplikasi Xoops ialah JICA Alumni Website, SMK Bandaraya dan banyak lagi. Untuk mendapatkan bantuan mengenai Xoops bolehlah ke laman web Komuniti Xoops Malaysia – http://www.xoopsmalaysia.org