Antara Intan & Permata

Sudah menjadi naluri setiap manusia suka kepada kecantikan. Biarpun kita sedar cantik itu tidak semestinya baik. Tapi kita masih tertipu akibat ‘kuasa kecantikan’ itu. Ibarat intan & permata, kedua-duanya cantik & ’sedap’ mata memandang. Tetapi adakah kedua-duanya sama nilainya, baik sifatnya & tinggi mutunya?

Di dalam kehidupan seharian, kita harus pandai memilih antara intan & permata. Jangan hanya memilih kerana harga (baca harta) tetapi sinarnya (baca sifatnya) juga harus di utamakan. Harga tidak melambangkan keikhlasan dan kesucian tapi jika nilainya letak pada pancaran sinarnya ia menunjukan kualiti yang terjamin. Kita jangan tertipu dengan harga yang mahal kerana ia tidak menjamin kualiti yang baik. Jangan juga kita terpedaya dengan jenama (baca pangkat) kerana jenama bukan melambangkan keteguhan kualiti.

Dalam menjalankan urusan seharian, aku berjumpa dan bergaul dengan manusia daripada pelbagai lapisan masyarakat. Nyata kesempatan itu menjadi pengalaman dan pengajaran berharga buat aku yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Semakin ramai manusia yang aku jumpa, semakin banyak benda yang aku pelajari tentang ragam & hati seseorang. Seperti pepatah mengatakan “Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain”.

Kita perlu bijak menilai dan jangan mudah terpedaya. Ini kerana, jika kita amati di sebalik sinaran pancaran itu, ada kalanya masih ada tanda-tanda hitam yang mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ini menunjukkan manusia walaupun sesuci mana sekali pun tetap mempunyai dosa yang tersembunyi yang mungkin tidak diketahui olehnya. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi kita harus jadikan kesilapan terdahulu sebagai pedoman masa akan datang.

Ada hati manusia yang ibarat permata dan ada juga yang seperti intan. Jika hati ibarat permata, sinarnya pasti tidak sejernih intan. Titik hitamnya akan jelas kelihatan. Jika kita ibaratkan titik hitam itu dosa kita dan garis kasar itu sempadan antara kemungkaran dan kebaikan , sudah pasti kita cepat tersedar kerana dosa yang kita lakukan jelas kelihatan dan sempadan kebaikan dengan kejahatan jelas terpampar. Jika hati ini ibarat intan, titik hitam dan garis sempadan tidak dapat melihatnya. Akibatnya, kita akan terus ternoda dengan dosa tanpa sempadan. Akhirnya kita akan menjadi intan yang pudar untuk suatu detik yang tidak pasti.

Bersama-samalah kita beringat-ingat memilih antara intan & permata…

One Response to “Antara Intan & Permata”

  1. macam mana pula dengan permata dan kristal? macam mana kita nak menilai keaslian permata tu? Jangan kita tertipu dengan permata, kekandang, kristal lebih baik daripada permata.

Leave a Reply